GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


SARAWAK mewajibkan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang baru tiba dari Semenanjung, Sabah dan Labuan supaya diambil sampel untuk diuji bagi memastikan mereka bebas Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu perlu selepas wujud kluster baharu dalam kalangan penuntut IPT di luar Sarawak.

"Penuntut IPT yang baru tiba akan disaring dan ditempatkan di hotel sehingga keputusan ujian sampel itu diperoleh.

"Jika keputusan ujian sampel mereka adalah negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan dipasangkan gelang tangan penanda dan seterusnya menyambung kuarantin di rumah," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Kuching, hari ini.

Uggah berkata, sehingga kini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyelaras kepulangan seramai 4,931 penuntut IPT Sarawak dari Semenanjung , Sabah dan Labuan serta seramai 1,451 penuntut IPT tempatan dalam Sarawak untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

Beliau yang juga pengerusi JPBN berkata, bagi penjawat awam yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang balik ke Sarawak untuk bertugas pula, mereka dikehendaki menjalani ujian dalam tempoh tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke Sarawak.

"Jika keputusan ujian sampel adalah negatif, barulah mereka dibenarkan masuk ke Sarawak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada pekerja asing yang ingin balik ke negara masing-masing, bagaimanapun tiada jaminan untuk mereka dapat kembali semula ke Sarawak.

"JPBN juga berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mencari kaedah yang sesuai untuk membuat saringan terhadap semua pekerja asing dan tempatan di negeri ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:40 PM