GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


SEORANG lelaki kerugian RM12,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa berusia 22 tahun dihubungi seorang lelaki yang mengaku pegawai LHDN, jam 9.30 pagi, 11 Mei lalu.

"Lelaki terbabit mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai LHDN berjumlah RM36,800.90.

"Apabila mangsa menafikan perkara itu, panggilan disambung kepada lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis sebelum mangsa didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah," katanya pada kenyataan hari ini.

Muhamad Farid berkata, bagi membersihkan nama mangsa kononnya daripada senarai hitam, suspek meminta mangsa untuk mendedahkan butiran akaun bank dan kata laluan.

"Selepas maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM12,000 dalam akaun bank miliknya dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat serta denda.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

"Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:51 PM