Gambar fail, DUN Johor. FOTO Ihsan Royal Press Johor.
Gambar fail, DUN Johor. FOTO Ihsan Royal Press Johor.
BERNAMA

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadiri pembukaan rasmi bagi penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Ia sekali gus mencatat sejarah buat DUN Johor apabila Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, pertama kalinya hadir sebagai perdana menteri.

Pembukaan penggal ketiga DUN Johor terbabit dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu susulan krisis kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sebelum itu dan Bersatu keluar daripada PH.

Terdahulu, Muhyiddin tiba kira-kira 8.30 pagi di Bangunan Sultan Ismail dan disambut Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) lalu, selain kerusi Parlimen Pagoh, Muhyiddin bertanding di DUN Gambir dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk M Asojan dan calon PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini hadir di persidangan DUN Johor mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan jawatan Menteri Dalam Negeri.

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun pada 1986 hingga 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 11:20 AM