ANGGOTA APM Kubang Pasu melakukan pemantauan di kawasan Kampung Nang Mah yang dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter dalam kejadian banjir kilat. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA APM Kubang Pasu melakukan pemantauan di kawasan Kampung Nang Mah yang dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter dalam kejadian banjir kilat. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


LAPAN rumah di Kampung Nang Mah, Changlun ditenggelami air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter dalam banjir kilat berikutan hujan lebat, hari ini.

Difahamkan, air dari Sungai Laka dan Sungai Temin melimpah pada 9.30 pagi selepas hujan berpanjangan selama tiga jam sejak petang semalam.

Keadaan itu menyebabkan penduduk yang tinggal di tebing sungai di kampung terbabit tidak sempat memindahkan barangan penting ke tempat lebih selamat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, lapan rumah itu didiami 32 mangsa dan tiada pusat pemindahan dibuka kerana air sudah surut.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi itu sekiranya berlaku lagi hujan lebat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Hasnah Ahmad, 56, berkata dia tidak sempat mengangkat tikar getah kerana air masuk ke dalam rumah dengan cepat.

Katanya, kawasan itu kerap berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat yang berpanjangan, tetapi semalam dia tidak sempat berbuat apa-apa.

"Risau jugak kami berhari raya dalam banjir kerana keadaan cuaca tak menentu sekarang.

"Selepas ini kena berhati-hati dan terpaksa angkat barangan berharga kerana bimbang air naik tak menentu dan pernah melebihi 0.5 meter sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 2:46 PM