JENERAL Datuk Mohd Halim Khalid (belakang kanan) bersama Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (belakang kiri) menyaksikan pertukaran nota serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas. FOTO Danial Saad
JENERAL Datuk Mohd Halim Khalid (belakang kanan) bersama Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (belakang kiri) menyaksikan pertukaran nota serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan kawalan sempadan dengan melakukan kekerapan rondaan di laluan tikus bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi negara terutama menjelang Aidilfitri ini.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, pihaknya mengenal pasti laluan tikus yang sering digunakan PATI terbabit.

Menurutnya, seramai 500 anggota tentera ditempatkan bagi melakukan kawalan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Weng, Baling dengan jarak 240 kilometer.

Katanya, pemantauan udara menggunakan dron juga dilaksanakan untuk menghapuskan anasir kemasukan PATI yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Anggota yang menjaga sempadan memperketatkan kawalan dengan mengadakan pemantauan dengan meletakkan pos di jalan, menghalang jalan digunakan terutama bagi kenderaan besar, kerap melakukan rondaan dan mengadakan pemantauan udara dengan menggunakan dron.

"Ini adalah operasi yang dijalankan ATM untuk menyekat kemasukan PATI dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Nota Serah Tugas Op Penawar Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara Rejimen 3 Kor Amor Diraja (KAD) dan Batalion 19 Askar Melayu Diraja (RAMD) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

Dalam majlis ringkas itu, Pegawai Memerintah Rejimen 3 KAD, Leftenan Kolonel Norazri Mohd Nor menyerahkan nota serah tugas kepada Pegawai Memerintah Batalion 19 RAMD, Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Menurutnya, berikutan itu, Batalion 19 RAMD akan mengambil alih tugas Rejimen 3 KAD dalam membantu PDRM melaksanakan operasi Covid-19 di sempadan Seberang Perai dan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, seramai 600 anggota ATM akan membantu PDRM dalam penugasan PKPB di Seberang Perai dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:30 PM