FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


PULAU Pinang membenarkan orang ramai untuk makan di hotel, pasar raya atau francais restoran makanan segera seluruh negeri itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula Jumaat ini.

Garis panduan berhubung perkara itu bakal diumumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), esok.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kebenaran makan dalam premis seperti hotel, pasar raya dan francais restoran makanan segera akan dibuat secara berperingkat bermula 15 Mei ini.

Menurutnya, ia selaras dengan pelaksanaan Fasa Pembukaan bagi Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang diumumkan, baru-baru ini.

"Garis panduan yang bakal digunakan itu mendapat penyelarasan daripada Exco Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"Bagi premis makanan lain-lain kategori, kebenaran makan di dalam premis bakal diperhalusi berdasarkan nasihat daripada JKNPP pada Fasa 2 kelak dan masih belum dibenarkan," katanya dalam sidang media menerusi Facebook, hari ini.

Menurutnya, semua sektor dan aktiviti yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh beroperasi semula di Pulau Pinang, esok.

Katanya, terdapat senarai larangan yang masih kekal seperti diumumkan Kerajaan Persekutuan, manakala aktiviti yang tidak termasuk dalam senarai larangan adalah dibenarkan.

"Bagi solat berjemaah, kerajaan negeri menerima pakai SOP ditetapkan Kerajaan Persekutuan dan ia juga tertakluk juga kepada agama-agama lain.

"Kerajaan negeri juga mengambil pandangan Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengehadkan jumlah tetamu di flat atau rumah pangsa iaitu tidak melebihi tujuh orang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, setakat ini taman awam, kompleks sukan, stadium dan dewan orang ramai masih ditutup kepada orang ramai.

Katanya, aktiviti rekreasi pula hanya terhad di kawasan kejiranan dan taman poket di kawasan perumahan.

"Walaupun sudah diklasifikasikan sebagai 'negeri hijau', namun ujian saringan Covid-19 masih dijalankan di Pulau Pinang membabitkan kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:56 PM