BEKALAN PPE yang tiba di MAS Kargo LTAK dari Shanghai sedia untuk diagihkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak. FOTO MELVIN JONI
BEKALAN PPE yang tiba di MAS Kargo LTAK dari Shanghai sedia untuk diagihkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


PELBAGAI peralatan perlindungan diri (PPE) yang dibeli dari Shanghai, China untuk barisan hadapan perubatan tiba di Sarawak pagi tadi.

Ia terdiri daripada 5,000 PPE perubatan pakai buang; 100,000 pelindung muka; 5,000 penutup but perubatan; 184,000 penutup kasut; 184,000 pakaian isolasi; 184,000 topi kejururawatan; 184,000 penutup tudung dan 60,000 pelitup muka N95.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sei Dr Sim Kui Hian berkata, kesemua PPE berkenaan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 3 pagi menggunakan penerbangan khas kedua dari Shanghai.

"Pembelian PPE pertama adalah pada 9 April yang ditempah oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) tetapi dibayar oleh kerajaan Sarawak kerana kita amat memerlukannya ketika itu.

"Ini adalah pembelian kedua di mana JKNS dengan kelulusan Kementerian Kesihatan membayarnya dan kita amat bernasib baik kerana Kementerian Kesihatan membenarkan penerbangan khas untuk membawa jutaan ringgit PPE ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di LTAK, hari ini dengan diiringi Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Sementara, Dr Chin berkata PPE berkenaan akan diagihkan kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan di Sarawak secepat mungkin.

"Kami dimaklumkan oleh ejen penghantar bahawa semua PPE ini akan diagihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan dalam memastikan kami mempunyai PPE mencukupi, yang amat penting terutama kepada barisan hadapan kami," katanya.

Menurut beliau, fasiliti kesihatan kerajaan di Sarawak memerlukan PPE pada kadar yang banyak kerana ia digunakan bukan sahaja untuk merawat pesakit positif Covid-19 tetapi juga ke atas mereka yang disyaki.

"Penggunaan PPE memang banyak berbanding kebiasaannya, sebab itulah kami perlu memastikan bekalan sentiasa ada sepanjang masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:28 PM