ZUBIR memarut kelapa yang dibelah isterinya, Tirah di kediaman mereka di Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
ZUBIR memarut kelapa yang dibelah isterinya, Tirah di kediaman mereka di Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


SELAMA lebih 40 tahun menabur bakti memasak bubur lambuk untuk diedarkan secara percuma kepada penduduk kampung setiap kali Ramadan menjelma.

Namun kekangan akibat wabak Covid-19 yang melanda tahun ini, bukan halangan bagi Zubir Yaakob, 71, untuk melakukan amal jariah itu.

Warga emas yang lebih dikenali penduduk Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, dengan panggilan Pak Unggal atau Busu, jelas tidak pernah mengenal erti letih.

Setiap kali Ramadan menjelma, Pak Unggal, isteri, Tirah Abdul Hamid, 71, dan anak mereka, Ismail, 46, tidak pernah membiarkan kayu pengacau bubur lambuk atau batang centong tersandar pada dinding begitu sahaja.

Sebaliknya, mereka akan memastikan kira-kira 300 bungkus bubur lambuk mampu disediakan untuk anak kariah.

"Alhamdulillah, anak kariah menghulurkan sedekah beras dan wang untuk membeli bermacam-macam perencah dan ayam. Tambah istimewa, ada dalam kalangan idnvidu yang menghulurkan sedekah itu adalah kawan saya yang bukan beragama Islam.

"Mereka rapat dengan saya dan turut menghulurkan wang untuk membantu saya memasak bubur lambuk kerana satu periuk besar bubur lambuk memerlukan modal lebih RM300," katanya tadi.

Setiap jam 9 pagi, hari Isnin dan Khamis, Pak Unggal dan dua anggota keluarganya memulakan kerja memasak bubur lambuk dengan bahan lazim membabitkan 15 kilogram (kg) beras, tiga ekor ayam, udang kecil, ikan bilis dan pelbagai bahan lain.

Zubir mengacau bubur lambuk. FOTO HASSAN OMAR
Zubir mengacau bubur lambuk. FOTO HASSAN OMAR

Untuk mendapatkan santan, Pak Unggal tidak pernah mengeluarkan wang dari sakunya, sebaliknya dia mengopek sendiri 20 biji kelapa yang dikait di sekeliling rumah untuk diparut bagi mendapatkan santan.

"Tidak perlu beli santan kerana santan sekarang mahal, RM11 sekilogram, jadi saya kait sendiri kelapa di sekeliling rumah," katanya.

Pak Unggal yang hanya bekerja kampung dengan bertukang dan mengambil upah membersihkan kebun, turut memelihara kira-kira 30 kambing kampung.

"Pada setiap petang, selepas solat Asar, bilal membuat pengumuman di masjid meminta anak kariah datang ke rumah saya untuk mengambil bubur lambuk.

"Kira-kira 300 bungkus bubur lambuk yang diedarkan pada setiap petang Isnin dan Khamis membolehkan kariah berbuka puasa dengan penuh selera dan saya merelakannya sebagai amal jariah yang hasilnya saya doakan Allah SWT berikan ganjaran di akhirat kelak," katanya.

Selain Ismail yang diperturunkan ilmu menghasilkan bubur lambuk lazat dan menyelerakan, Pak Unggal tidak pernah lokek untuk memperturunkan ilmu berkenaan kepada sesiapa sahaja, terutama anak kariah yang berminat mendalaminya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 3:50 PM