ASHEED menjual baju raya kanak-kanak bagi menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri susulan kehilangan pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO IHSAN ASHEED
ASHEED menjual baju raya kanak-kanak bagi menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri susulan kehilangan pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO IHSAN ASHEED
Ahmad Rabiul Zulkifli


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa ramai artis yang kehilangan sumber pendapatan sebagai penyanyi undangan di majlis korporat atau makan malam mencari alternatif lain untuk menyara keluarga.

Tidak terkecuali bagi vokalis kumpulan rock terkenal, Def Gab C iaitu Asheed yang kini berniaga baju kanak-kanak sejak awal Ramadan lalu.

Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 47, berkata, banyak undangan nyanyian terpaksa dibatalkan sepanjang Mac, April dan Mei kerana PKP.

"Paling menyedihkan apabila single terbaru bertajuk Bapak Tak Marah ciptaan bersama Kid Search, Mat Nor Hendrik dan Syarul yang sepatutnya dilancarkan April lalu terpaksa ditangguh.

"Banyak perancangan termasuk kemunculan semula Def Gab C pada tahun ini perlu dibatalkan susulan PKP," katanya ketika dihubungi.

Asheed berkata, dia hanya menghabiskan masa sepanjang PKP berada di rumah bersama isteri, Hafiza Ramli, 31, dan dua anak berusia tujuh dan tiga tahun.

"Masa terluang di rumah dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti seperti mengemas rumah dan belajar memasak dengan isteri.

"Jika dulu saya tidak pandai langsung memasak tetapi sekarang saya sudah pandai memasak rendang," kata penyanyi yang popular dengan lagu Ibu Kota Cinta, Cinta Sakti, Marilah Maria, Merah dan Ampunkan Aku itu.

Bagi mengisi masa lapang juga, dia bersama kakak iparnya, Hawa Ramli, 35, aktif menjual baju kebaya kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun sepanjang Ramadan.

"Kami bukan terlalu ingin mencari keuntungan tetapi sekadar menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sepatutnya baju itu berharga RM89 sehelai tetapi bersempena PKP dan Ramadan ia dijual dengan harga RM79 sehelai termasuk kos penghantaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 2:25 PM