NOR Azrina. FOTO Arkib NSTP
NOR Azrina. FOTO Arkib NSTP
Nor Farhani Che Ad


ISU peralihan kuasa kerajaan negeri Kedah dianggap hanya sekadar persepsi berikutan tiada bukti jelas berlaku tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) melompat parti.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, ketika ini kerajaan negeri pimpinan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat masih utuh dan mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang cukup.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, pembangkang iaitu PAS dan UMNO masih belum mempunyai bilangan ADUN yang cukup bagi menukar kerajaan negeri.

"Walaupun kita lihat ada ADUN yang dikatakan tidak sehaluan (dengan kerajaan negeri), namun jumlah kerusi masih sama, dan saya rasa perkra itu tiada isu.

"Selagi ia tidak diterjemahkan dengan tindakan, pada saya kita masih sama seperti mana yang kita persetujui, kita pertahan mandat," katanya ketika dihubungi di Sungai Petani, hari ini.

Azrina bagaimanapun mengakui, suasana politik ketika ini adalah sesuatu yang sukar dijangka dan terdapat pelbagai pandangan diberikan banyak pihak.

"Mungkin orang luar melihat ada pihak yang menunjukkan sokongan, ia hanya sekadar persepsi, dalam politik sangat sukar untuk dibaca dan luar jangkaan kita.

"Ibarat sorakan dalam permainan bola sepak, bila ada pihak yang akan menjaringkan gol sorakan lebih kuat, tetapi bola itu belum tentu masuk (ke dalam jaring)," katanya.

Katanya, semua pimpinan kerajaan negeri ketika ini perlu kembali memberi tumpuan pada kerja membantu rakyat.

"Bila kita fokus kepada matlamat mempertahankan rakyat, itu yang akan mengukuhkan walaupun cabaran yang datang memang datang dari pelbagai sudut," katanya.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), BERSATU (6), Parti Amanah Negara (4), DAP (2) dan UMNO (2).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:04 PM