Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti banyak permohonan untuk membuka sekolah taman asuhan kanak-kanak (Taska) berikutan risau penularan Covid-19 berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, adalah dibimbangi kebolehjangkitan meningkat jika kaedah lama digunakan.

Mengulas mengenai kaedah lama itu, katanya, mengumpulkan semua kanak-kanak seperti sebelum ini yang ia menjadi satu perhimpunan.

"KKM masih meneliti banyak permohonan. Apa yang kita risaukan ialah kawalan terhadap kanak-kanak itu.

"Jika kita lihat di Taska, sebelum pandemik Covid-19 pun jadi jangkitan contohnya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD. Jangkitan mudah berlaku di Taska.

"Melainkan kita boleh mengehadkan. Contohnya pengurusan kanak-kanak di tempat yang khas 'one-to-one' baharu boleh dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang pertimbangkan kaedah inovasi baharu di Taska sebelum boleh memberikan keputusan yang muktamad.

"Setakat ini kita belum ada keputusan muktamad tetapi ada banyak permohonan untuk membuka Taska.

"Sebelum kita memberi laluan untuk membuka Taska berkenaan, kita pastikan dahulu keselamatan kanak-kanak terjamin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:10 PM