SYAMIMI Harni Zulkifli bersama kad raya yang dihasilkan  FOTO Ihsan SYAMIMI HARNI ZULKIFLI
SYAMIMI Harni Zulkifli bersama kad raya yang dihasilkan FOTO Ihsan SYAMIMI HARNI ZULKIFLI
Redzuan Muharam


BAKAT melukis yang ada dimanfaatkan Syamimi Harni Zulkifli untuk menjana pendapatan dengan mengambil tempahan menjual kad raya bermotifkan lukisan dihasilkannya.

Syamimi, 22, berkata, perniagaan sambilan itu dijalankannya secara dalam talian sejak tahun lalu tetapi semakin mendapat sambutan selepas dia mengambil semula tempahan bermula hari pertama Ramadan.

Penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui tidak menjangka sambutan memberangsangkan diterimanya tahun ini.

Katanya, dia hanya melakukannya untuk suka-suka tetapi permintaan diterima mendorongnya membantu orang ramai menghasilkan kad ucapan sebagai perantara diri buat insan tersayang menjelang kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kad raya yang saya hasilkan diberi nama Lakaran Jiwa dengan konsep poskad berwarna hitam putih bagi menonjolkan elemen klasik.

"Saya hasilkannya dalam dua set iaitu A bagi lukisan bangunan ikonik manakala B untuk kad bertemakan rumah tradisional dan masjid.

"Bangunan dan binaan dipilih sebagai subjek lukisan kerana mahu melambangkan identiti saya sebagai penuntut seni bina," katanya ketika dihubung Harian Metro.

Syamimi yang menetap di Alor Setar, Kedah berkata, kad itu dijual dengan harga RM25 untuk satu set dan RM3 sekeping.

ANTARA kad raya yang dihasilkan FOTO Ihsan SYAMIMI HARNI ZULKIFLI
ANTARA kad raya yang dihasilkan FOTO Ihsan SYAMIMI HARNI ZULKIFLI

Katanya, dalam tempoh dua minggu, kira-kira 4,000 kad sudah terjual dan kebanyakan pembeli mahu menghadiahkan kepada keluarga serta rakan mereka.

"Alhamdulillah, keluarga memberi sokongan dan ibu serta ayah saya turut sama membantu kerja pemotongan kertas.

"Ini kerana tempahan sangat banyak dan kebanyakan pelanggan membeli kerana mahu memberikannya kepada keluarga dan rakan yang sudah lama tidak bertemu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara peribadi, saya gembira kerana dapat berkarya dengan menghasilkan kad yang menjadi alternatif untuk menghubungkan orang ramai," katanya yang cenderung dalam bidang seni lukis sejak di sekolah rendah.

Menurut Syamimi, setakat ini, maklum balas diterimanya positif dan dia menyimpan hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan itu.

"Terima kasih kepada yang menyokong dan saya hargai serta bersyukur dengan sokongan diberikan. Ikutkan, saya pernah hasilkan hiasan dekorasi rumah sebelum ini dan kini kad raya.

"Kalau boleh, saya mahu kembangkan lagi hasil seni berbekalkan kemahiran yang ada untuk kepuasan diri dan menjana pendapatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 4:28 PM