SEKATAN jalan raya di laluan masuk Gua Musang bagi memeriksa kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri. FOTO Ramli Ibrahim.
SEKATAN jalan raya di laluan masuk Gua Musang bagi memeriksa kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


HARI pertama perjalanan rentas negeri menyaksikan trafik di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dekat Gua Musang bertambah sejak pagi.

Tinjauan bermula 8 pagi mendapati kenderaan meningkat di laluan menghala ke Kota Bharu dan mungkin terus bertambah menjelang malam.

Seorang pengguna laluan yang ditemui, Farid Muhammad, 31, berkata, dia keluar dari Kuala Lumpur awal pagi dan bersahur di pertengahan jalan kerana enggan terperangkap kesesakan.

"Tapi sepanjang perjalanan kereta tidak banyak, mungkin belum ramai yang memulakan pergerakan kerana kerajaan beri masa empat hari hingga 10 Mei.

"Saya pulang untuk mengambil anak dan isteri di Pasir Mas dan mungkin akan pulang ke Kuala Lumpur lusa," katanya.

Sama seperti Farid, Kamarudin Ishak, 45, berkata, dia memohon untuk mengambil anak dan isterinya yang terkandas di Pasir Puteh.

Malah, dia bersyukur apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk perjalanan rentas negeri yang secara tidak langsung dapat dimanfaatkan untuk menjenguk orang tua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pertambahan kenderaan ketika ini belum menyebabkan kesesakan serius.

"Anggota ditempatkan untuk mengawal trafik di laluan masuk Gua Musang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 3:05 PM