WAKIL rakyat DUN Lenggeng, Suhaimi Kassim (tengah) dan pengusaha, Man Kok Heng (dua dari kanan) menunjukkan ikan sembilan yang siap dibungkus untuk diagihkan secara percuma kepada penduduk. FOTO Mohd Amin Jalil.
WAKIL rakyat DUN Lenggeng, Suhaimi Kassim (tengah) dan pengusaha, Man Kok Heng (dua dari kanan) menunjukkan ikan sembilan yang siap dibungkus untuk diagihkan secara percuma kepada penduduk. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


SEBANYAK 1.5 tan ikan sembilang diagihkan secara percuma kepada penduduk di Lenggeng sebagai inisiatif mengurangkan lambakan ikan ternakan itu selepas gagal dijual ke negara jiran dan pasaran tempatan.

Pengusaha ikan ternakan itu, Man Kok Heng, 55, berkata, bekalan ikan berkenaan itu sepatutnya dipasarkan di Thailand selain pasaran tempatan ketika Ramadan ini, namun terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi memastikan kesemua ikan sembilang ini dapat dimanfaatkan, saya mengambil keputusan untuk memberikan secara percuma kepada penduduk.

"Saya mendapat kerjasama wakil rakyat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Lenggeng, Suhaimi Kassim dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dalam menganjurkan program serahan ikan ini," katanya.

Kok Heng berkata demikian ketika ditemui selepas pengagihan ikan keli di Pusat Khidmat DUN Lenggeng di Taman Panchor Jaya, Paroi, Seremban, hari ini.

Dia yang mengusahakan ternakan ikan di Titi Jelebu, dekat Seremban berkata, pihaknya kerugian kira-kira RM100,000 sepanjang tempoh PKP ini kerana tidak dapat memasarkan ikan dan hasil ternakannya seperti biasa.

"Bagaimanapun, saya puas hati kerana dapat membantu penduduk yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka, terutama golongan yang kurang berkemampuan," katanya

Sementara itu, Suhaimi berkata, pihaknya menyambut baik langkah penternak ikan berkenaan di atas kesudian mengagihkan ikan sembilang secara percuma kepada penduduk dalam kawasan DUN yang diwakilinya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sumbangan itu amat bermakna bagi mereka sekali gus meringankan sedikit beban yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini.

"Saya dan penternak bersama kakitangan Jabatan Perikanan mengagihkan ikan sembilang ini ke rumah penduduk di Taman Panchor Jaya, Pantai dan Lenggeng serta sekitarnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 12:18 PM