DATUk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO NSTP
DATUk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


PERAK kekal dengan keputusan tidak membenarkan pelanggan makan di premis makanan di negeri itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan prosedur standard operasi (SOP) pembukaan ekonomi yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri juga menangguhkan operasi terpilih bagi sektor makanan, sukan dan rekreasi selepas memperhalusi sektor berisiko tinggi terhadap penularan jangkitan Covid-19.

"Kerajaan negeri mahu semua pengusaha restoran dan premis makanan perlu mematuhi SOP di bawah PKPB seperti mengambil dan merekod suhu pekerja sebelum bertugas.

"Mengawal bilangan pelanggan serta penjarakan sosial dan mewajibkan penggunaan cecair pembasmi kuman atau menyediakan sabun di tempat mencuci tangan, pembersihan dan sanitasi.

"Mereka juga mesti mengambil langkah persediaan sebelum kerajaan negeri memutuskan membenarkan semula pelanggan untuk makan di premis," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menubuhkan pasukan khas di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri bagi pemantauan dan penguat kuasaan di restoran dan premis makanan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, bagi taman rekreasi awam pula, pihaknya perlu memastikan PBT bersedia dengan pelaksanaan SOP yang ditetapkan selain keperluan pemantauan oleh kakitangan bertugas.

"Amalan normal lama seperti jumlah pengunjung yang padat di taman rekreasi di seluruh Perak pada waktu riadah, tidak lagi sesuai untuk diteruskan dalam normal baharu.

"Justeru, kerajaan negeri perlu memastikan PBT mempunyai pasukan penguat kuasa mencukupi untuk ditempatkan di taman rekreasi awam bagi tujuan pemantauan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 7:18 PM