Pasangan OKU, Zanainah Muhammad bersama suaminya Mohd Shukri Abdul Kadir ketika ditemui di Kampung Pasir Hor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Pasangan OKU, Zanainah Muhammad bersama suaminya Mohd Shukri Abdul Kadir ketika ditemui di Kampung Pasir Hor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Siti Rohana Idris


TUKANG jahit orang kurang upaya (OKU) berharap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuka rezeki buat mereka untuk menerima lebih banyak tempahan baju.

Zanainah Muhammad, 43 yang pekak dan bisu sejak lahir hanya mempunyai kemahiran itu untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama suami, Mohd Shukri Abdul Kadir, 42, yang turut mengalami masalah sama.

Kakaknya, Zabariah, 45, berkata, tahun lalu, adiknya mendapat puluhan tempahan baju raya, bagaimanapun tahun ini jumlah itu amat berkurang kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Adik mahir menjahit baju kurung serta kurung moden dan menerima tempahan dalam kalangan rakan terdekat serta penduduk kampung.

"Ketika musim PKP, tempahan yang diterima hanya beberapa pasang sahaja kerana orang ramai tidak boleh bebas keluar.

"Apabila PKPB dilaksanakan esok, kami harap mendapat lebih banyak tempahan kerana adik hanya ada kemahiran itu sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, hari ini.

Zabariah berkata, kadar upah yang diterima untuk menjahit pakaian adalah serendah RM35 hingga RM50 sahaja.

Menurutnya, suami adiknya, hanya bekerja sebagai tukang rumah dan terputus sumber pendapatan sejak PKP.

Zabariah yang menetap bersama adiknya itu di rumah pusaka berkata, suami isteri itu mempunyai empat cahaya mata yang terdiri dari dua pasang kembar berusia tiga dan sembilan tahun.

"Dua daripada mereka diambil sebagai anak angkat oleh adik saya dan adik ipar Zanainah memandangkan mereka tidak mempunyai cahaya mata.

"Sepanjang tidak bekerja dan tiada menerima tempahan, kami hanya berbelanja dengan simpanan yang ada.

"Nasib baik saya mempunyai gaji bulanan, sekurang-kurangnya dapat menampung kelangsungan hidup kami lima sekeluarga," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Kota Bharu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:10 PM