Pelanggan yang datang akan disaring mengikut SOP PKPB di Pusat Islam Iskandar. FOTO Omar Ahmad
Pelanggan yang datang akan disaring mengikut SOP PKPB di Pusat Islam Iskandar. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


SEMUA kaunter Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dibuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan di Pusat Islam Iskandar mendapati sembilan khemah didirikan bagi tujuan saringan pengunjung yang berurusan di agensi agama itu.

Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki A Shamsudin berkata, khemah itu menempatkan ruang saringan dengan kelengkapan pemeriksaan suhu, cecair pembasmi kuman dan data peribadi bagi tujuan semakan mengikut standard prosedur operasi (SOP) PKPB.

Katanya, khemah terbabit turut menempatkan kaunter khidmat yang tersedia di JAINJ dan MAINJ.

"Orang ramai yang datang akan diambil suhu serta data peribadi, kemudian diletakkan di kaunter mana mereka mahu berurusan.

"Di kaunter terbabit, satu pas akan diberikan bagi mereka membuat urusan di tingkat atas bangunan.

"Kita mahu mengawal penjarakan sosial pengunjung," katanya ketika dihubungi.

Menurut Md Rofiki, tiada kesesakan pengunjung berlaku walaupun ramai yang membuat urusan di bahagian zakat serta dakwah.

"Sepanjang PKPB ini perkhidmatan kaunter di sini bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:43 PM