GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG pesara kerugian RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula selepas wanita berusia 60-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Wati' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, suspek memaklumkan mangsa kononnya terbabit dalam kes perbankan wang haram.

Katanya, mangsa menafikan tuduhan itu sebelum suspek mengarahkan mangsa membuka akaun bank baru dan memindahkan wang yang ada ke dalam akaun itu sekiranya mahu membersihkan semula namanya daripada disenarai hitam.

"Suspek meminta mangsa segera berbuat demikian bagi mengelak ditangkap dengan alasan waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan.

"Mangsa yang ketakutan menuruti arahan suspek termasuk mendedahkan semua maklumat peribadi berkait akaun bank baharu yang dibuka kepada suspek seperti diminta kononnya untuk tujuan siasatan.

"Bagaimanapun, mangsa tergerak hati untuk memeriksa akaunnya beberapa jam kemudian sebelum pemeriksaan mendapati wang di dalam dua akaun berbeza berjumlah RM25,000 sudah dipindahkan ke akaun tidak dikenali," katanya.

M. Zambri berkata, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:12 PM