Profesor Salmiah Kasolang
Profesor Salmiah Kasolang
BERNAMA

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang buat julung kalinya menyaksikan pelantikan Rektor wanita pertama di kampus itu.

Pelantikan Profesor Salmiah Kasolang berkuat kuasa hari ini sebagai Rektor ke-9, bagi menggantikan Profesor Madya Mohd Hisbany Mohd Hashim yang bertukar ke kampus induk Shah Alam.

"Profesor Salmiah pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam selama dua tahun dan (berkhidmat sebagai) Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri di kampus sama selama tujuh tahun serta beberapa jawatan penting yang lain," kata Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pulau Pinang Zamri Ahmad menerusi sebuah kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari University of Sheffield, United Kingdom dan Ijazah dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat adalah pakar dalam bidang Tribologi.

Selain itu, Salmiah yang berasal dari Sandakan, Sabah sangat aktif dalam bidang penyelidikan dengan lebih 100 penyelidikan H-Indeks dan RM1.54 juta geran penyelidikan serta menerima pelbagai pencapaian dan anugerah yang berprestij.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 8:42 PM