Kumpulan pertama seramai 287 pelajar Sarawak yang baru tiba di LTAK hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Kumpulan pertama seramai 287 pelajar Sarawak yang baru tiba di LTAK hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 26 pelajar yang balik dari Semenanjung Malaysia hari ini belum dibenarkan berjumpa keluarga.

Sebaliknya mereka yang akan balik ke kawasan zon hijau itu perlu dikuarantin selama 14 hari di sebuah hotel di Kuching.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil bagi memastikan mereka dipantau rapi sebelum balik ke rumah masing-masing.

"Mereka akan pulang ke zon hijau, jadi kita mahu memastikan mereka yang datang dari luar supaya tidak dibenarkan terus balik ke kawasan itu.

"Selepas mereka benar-benar bebas dari Covid-19, barulah mereka boleh balik ke rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Beliau menyambut ketibaan kumpulan pertama pelajar Sarawak yang seramai 287 orang yang dibawa balik, menaiki penerbangan sewa khas, hari ini.

Uggah berkata, seramai 261 lagi pelajar yang kediaman mereka berada di kawasan zon merah dan kuning pula dipasang gelang tangan khas bagi memudahkan pemantauan.

"Seramai 261 pelajar itu dibenarkan terus balik ke rumah masing-masing tetapi selain dipasang gelang tangan khas, mereka juga diberi notis tinggal di rumah selama 14 hari.

"Kita harap mereka mematuhi arahan duduk di rumah selama 14 hari itu dan pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan memantau mereka setiap hari," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, langkah tegas itu perlu berikutan sebelum ini beberapa kes positif dikesan kalangan pelajar yang baru balik ke negeri ini dari luar negara dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak belum memutuskan untuk mengikuti keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan kedai makan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat mulai 4 Mei ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Perkara itu perlu dibincangkan dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) serta Majlis Keselamatan Negeri terlebih dahulu.

"Kita akan menetapkan keputusan selepas perbincangan dengan Ketua Menteri nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 4:37 PM