Sesi cabutan undi dibuat secara langsung di akaun Facebook Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Sesi cabutan undi dibuat secara langsung di akaun Facebook Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini melaksanakan cabutan undian dalam talian bagi 22 projek rintis di Selangor di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) membabitkan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Projek itu adalah lapan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), tiga projek Program Ameniti Sosial (PAMS) dan 11 projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di empat daerah iaitu Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Sabak Bernam.

KPLB dalam kenyataan media memaklumkan seramai 554 kontraktor menyertai pendaftaran dan membuat permohonan secara dalam talian serta menyaksikan keputusan cabutan undian secara langsung melalui akaun Facebook rasmi kementerian.

Disebabkan masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPLB memaklumkan amalan biasa pelaksanaan projek yang membabitkan proses lawatan tapak dan kehadiran kontraktor secara fizikal, tidak dapat dilakukan.

"Sesi cabutan undi dibuat secara langsung di akaun Facebook KPLB. Proses undian ini dibuat secara manual tetapi dipancarkan secara langsung di Facebook KPLB dan disaksikan oleh wakil persatuan kontraktor dan Unit Integriti kementerian. Keputusan undian juga diumumkan terus dalam perkongsian langsung," menurut KPLB.

Di bawah inisiatif PRIHATIN, kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang turut melibatkan pelaksanaan projek-projek kecil di luar bandar, dan KPLB dipertanggungjawabkan untuk menjadi kementerian perintis bagi melaksanakan projek JPD, PAMS dan PPRT secara undian dalam talian.

Kementerian Kewangan sudah menyediakan prosedur operasi standard pelaksanaan pendaftaran kontraktor secara dalam talian untuk projek-projek undian yang bernilai RM20,000 hingga RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 8:35 PM