Tiga kawasan penempatan di Bandar Baru Ibrahim Majid dan Kampung Datuk Ibrahim Majid yang masih dikenakan pergerakan terhad selama seminggu bermula esok. FOTO Adnan Ibrahim
Tiga kawasan penempatan di Bandar Baru Ibrahim Majid dan Kampung Datuk Ibrahim Majid yang masih dikenakan pergerakan terhad selama seminggu bermula esok. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

TUJUH kedai runcit dalam kawasan Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) di sini, dibenarkan beroperasi mulai esok.

Bagi tujuan itu, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menguruskan urusan bekalan bahan mentah untuk jualan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Yang Di Pertuanya, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, tujuh kedai itu sudah dikenal pasti dan urusan pengoperasian bermula hari ini, dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan.

"Kebenaran beroperasi ini membolehkan penduduk kedua-dua penempatan ini mendapatkan keperluan harian mereka tanpa perlu ke pekan Simpang Renggam.

"Bagi penduduk yang ingin membeli keperluan lain yang tidak dijual di kedai-kedai runcit ini, mereka dikehendaki membuat pesanan melalui pemilik premis untuk menempah bekalan daripada pembekal sebelum dihantar pada hari sama atau keesokan harinya," katanya hari ini.

Menurut Mohamad Sukry, langkah ini diambil berikutan arahan kerajaan yang mengehadkan pergerakan penduduk di dua penempatan berkenaan.

Penduduk hanya boleh berada dalam kawasan perkampungan mereka sepanjang tempoh bertenang selama seminggu bermula esok.

Dalam pada itu, jika penduduk di dua kawasan perlu keluar untuk mengeluarkan wang di bank di pekan Simpang Renggam, mereka perlu mengisi borang keluar masuk yang boleh diperoleh di pondok sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Kebenaran itu hanya untuk mengeluarkan wang sahaja dan bukannya sebagai kebebasan untuk ke tempat lain. Masa yang diberikan juga terhad.

"Kami harap, dengan pengoperasian tujuh kedai runcit ini, ia dapat membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:45 PM