LELAKI maut akibat tersepit dibawah tayar sebuah traktor pembajak dalam kejadian di Kampung 20, Penaga, Kepala Batas. FOTO IHSAN JBPM PULAU PINANG
LELAKI maut akibat tersepit dibawah tayar sebuah traktor pembajak dalam kejadian di Kampung 20, Penaga, Kepala Batas. FOTO IHSAN JBPM PULAU PINANG
Nur Izzati Mohamad

LELAKI ditemukan maut selepas tersepit di bawah tayar jentera pembajak di Kampung 20, Penaga, Kepala Batas, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.33 petang berhubung insiden yang menimpa mangsa berusia 22 tahun.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dihantar ke lokasi bagi operasi menyelamat mangsa.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis ketika mengendalikan jentera berkenaan.

"Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan, namun petugas perubatan yang tiba di lokasi memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:16 PM