POK Li (depan) bersama beberapa sukarelawan yang membawanya ke Min House Camp, Kubang Kerian, sebagai penempatan sementara. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
POK Li (depan) bersama beberapa sukarelawan yang membawanya ke Min House Camp, Kubang Kerian, sebagai penempatan sementara. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


TIADA apa lebih menggembirakan buat Pok Li kerana kehidupannya mulai terjaga sepanjang Ramadan ini apabila ditempatkan di sebuah penempatan sementara selepas hidup sebagai gelandangan sejak empat tahun lalu.

Warga emas berusia 70 tahun itu berkata, perjalanan hidupnya berubah apabila memilih kehidupan jalanan selepas berpisah dengan isterinya selain tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.

Katanya, sebelum ini salah seorang anak yang tinggal di Kota Bharu pernah beberapa kali mengajaknya untuk tinggal bersama, namun dia memilih untuk hidup dengan caranya sendiri.

"Saya bukannya hendak memalukan anak-anak, tetapi saya sendiri memilih untuk hidup bergelandangan walaupun sepatutnya dalam usia senja ini saya menghabiskan sisa hidup bersama keluarga dan cucu-cucu.

"Sejak hidup bergelandangan, surau, masjid dan kaki lima menjadi tempat persinggahan untuk saya tidur dan berehat, manakala makan minum pula mengharapkan simpati orang," katanya.

Pok Li berkata demikian ketika ditemui pada Program Penghantaran Gelandangan di Min House Camp, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

Katanya, dia secara sukarela menawarkan diri untuk tinggal sementara di penempatan berkenaan selepas ditemui dalam misi kemanusiaan gelandangan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) pada minggu lalu.

"Pada mulanya, saya sangka tempat yang ditawarkan adalah sebuah rumah dan terkurung hingga menjemukan, namun saya terkejut melihat suasana persekitaran kampung, ada sungai selain ternakan ayam dan ikan apabila menjejakkan kaki ke sini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Misi Kemanusiaan Gelandangan, Dr Johari Yap berkata, gelandangan yang diselamatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditempatkan di penempatan sementara berkenaan bagi meneruskan kehidupan mereka.

Menurutnya, ketika pihaknya menjalankan misi pada minggu lalu, hanya Pok Li sahaja menyatakan hasrat untuk tinggal di sini, manakala orang lain menolak pelawaan berkenaan.

Katanya, sebelum itu, pihaknya turut membawa warga emas berkenaan ke klinik untuk menjalani saringan Covid-19.

"Insya-Allah, kita akan cuba untuk memujuk gelandangan lain agar mereka bersetuju ditempatkan di sini, kerana kita mahu keselamatan serta kesihatan mereka lebih terjamin," katanya.

Misi berkenaan membabitkan NGO iaitu Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK), Kelab Sukarelawan (Volunteer I Care), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Selain itu, mereka juga mendapat kerjasama Puspanita cawangan Kelantan dan Persatuan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (PTU).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 3:45 PM