MOHD Rizauddin Noor. FOTO Ihsan Mohd Rizauddin Noor
MOHD Rizauddin Noor. FOTO Ihsan Mohd Rizauddin Noor
Hazira Ahmad Zaidi


PENGGUNAAN platform jualan dalam talian semakin popular bagi membeli barangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, susulan penguatkuasaan PKP, menyebabkan mereka menggunakan platform berkenaan untuk memudahkan mereka membeli barang keperluan harian selain pakaian dan makanan secara dalam talian.

Katanya, pergantungan orang ramai terhadap pembelian secara dalam talian menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut untung mudah, bukan saja menjual barangan lebih mahal daripada biasa, malah ada yang sanggup menipu pembeli.

"Dalam tempoh pelaksanaan PKP pihak kami menerima banyak aduan mengenai penipuan pembelian barangan secara dalam talian dan ia seolah seperti satu trend ketika rakyat Malaysia tertumpu kepada media sosial baik untuk mendapat perkembangan terkini mahu pun membuat pembelian.

"Justeru itu, kita perlu berhati-hati memandangkan penipuan kewangan (scammer) semakin berleluasa apatah dalam keadaan sekarang dalam tempoh pelaksanaan PKP apabila mereka dengan mudah mengambil kesempatan dengan pelbagai bantuan yang diberikan pihak kerajaan kepada rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu.

Mohd Rizauddin berkata, teknik atau modus operandi yang digunakan oleh scammer terlalu banyak bagi memperdaya atau menipu mangsanya dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai pihak berkuasa, pegawai bank, pegawai mahkamah serta agensi-agensi tertentu yang bertujuan untuk mengambil maklumat peribadi seseorang individu.

"Kebanyakan masyarakat kita mudah terjebak dengan Macau Scam, penipuan cinta siber (Love Scam), dan Parcel Scam sehingga wang yang disimpan hilang dalam sekelip mata.

"Selain itu, dengan kemajuan teknologi, scammer ini juga bijak mencipta laman web palsu yang berselindung di sebalik agensi yang sah untuk menyaring maklumat maklumat peribadi dimasukkan pengguna dengan cara mudah tanpa disedari yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp mahupun e-mel," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Kelantan pada tahun lalu sebanyak 99 kes yang dilaporkan membabitkan Macau Scan dengan jumlah kerugian RM3.7 juta.

"Justeru itu, kita kena ambil tahu dan lebih cakna mengenai perihal kewangan bagi memastikan kita tidak mudah ditipu oleh scammer dan jangan jadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 10:32 AM