GARDENIA peruntuk lebih RM1 juta sebagai bantuan dan sokongan terhadap kumpulan terjejas sepanjang krisis Covid-19 khususnya sewaktu PKP. FOTO Ihsan GBKL
GARDENIA peruntuk lebih RM1 juta sebagai bantuan dan sokongan terhadap kumpulan terjejas sepanjang krisis Covid-19 khususnya sewaktu PKP. FOTO Ihsan GBKL
Rosyahaida Abdullah

LEBIH RM1 juta diperuntukkan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) sebagai bantuan dan sokongan terhadap kumpulan terjejas sepanjang krisis Covid-19 khususnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Bantuan berupa produk keluaran Gardenia itu disalurkan kepada tiga kumpulan utama iaitu keluarga B40, petugas barisan hadapan dan penuntut universiti dibawah Program Food Bank Siswa di seluruh Semenanjung.

Ketua Pegawai Eksekutif GBKL Koh Chin Huat berkata, pihaknya memahami cabaran dilalui rakyat susulan krisis Covid-19 di negara ini lebih-lebih lagi isi rumah dan individu bergantung kepada gaji harian.

"Mereka yang bergantung kepada gaji harian tentunya berdepan kesukaran malah amat merasai impak krisis ini.

"Justeru, kami berharap dapat mengurangkan beban rakyat yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan buat seisi rumah akibat daripada penularan wabak yang melanda ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan inisiatif itu, Koh berkata, sepanjang Fasa 1 PKP, GBKL menyumbang lebih 23,500 produk Gardenia bernilai kira-kira RM40,000 bagi tujuan membantu kelompok keluarga B40, petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak serta penuntut yang bergantung kepada Program Food Bank Siswa di institusi pengajian tinggi (IPT) mereka mereka.

"Ini adalah sebahagian penghargaan kami terhadap petugas barisan hadapan baik dalam bidang kesihatan mahupun keselamatan yang bertungkus lumus melindungi seluruh rakyat.

"Kami juga sedar dengan golongan penuntut IPT yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan yang terpaksa berada di kampus.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami mereka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," katanya.

Menurut Koh, GBKL juga memulakan pusingan kedua pemberian produk Gardenia kepada lebih ramai keluarga B40 yang dikenal pasti bermula 13 April lalu.

Melalui jalinan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pek sumbangan akan dihantar kepada 13,000 keluarga B40 di seluruh Semenanjung dalam tempoh tiga minggu sehingga 4 Mei depan.

"Setiap pek sumbangan mengandungi roti putih 'Gardenia Original Classic', satu tub Kaya Auntie Rosie (Original) dan dua bungkus Delicia Toaster Waffles'.

"Ketika Fasa 2 PKP, GBKL juga sudah memperuntukkan lebih 13,000 roti putih 'Original Classic', 13,000 tub kaya dan 26,000 paket Toaster Waffles bernilai RM108,000 khusus buat keluarga B40," katanya.

Jelas beliau, sebagai syarikat yang mempunyai hubungan erat dengan masyarakat sekeliling serta mengambil berat kesusahan mereka yang kehilangan pendapatan, GBKL tidak terkecuali memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai dan pek sumbangan produk kepada keluarga yang terkesan di sekitar premis operasi Gardenia.

"Rakyat negara ini cukup bersatu padu, mematuhi arahan PKP dengan duduk di rumah bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19 sejak 18 Mac 2020.

"Seluruh warga kerja Gardenia sentiasa bersama rakyat Malaysia, bersama menghadapi rintangan ini dan kami komited untuk memastikan pengeluaran tidak terjejas dengan penghantaran harian ke pasar raya serta kedai akan diteruskan seperti biasa.

"Kami juga berharap bantuan program 'Gardenia Covid-19 Aid' akan memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang amat memerlukan," katanya.

Koh juga menggesa pengguna supaya bertenang dan membeli produk Gardenia mengikut keperluan keluarga seperti biasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 9:08 PM