AHMAD Fairus (dari kiri), Sulaiman, Mohd Rasydan dan Johanif berbincang sesuatu pada majlis penyerahan tembikai oleh Mohd Rasydan kepada Sulaiman di pejabat JAPERUN Lendu, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
AHMAD Fairus (dari kiri), Sulaiman, Mohd Rasydan dan Johanif berbincang sesuatu pada majlis penyerahan tembikai oleh Mohd Rasydan kepada Sulaiman di pejabat JAPERUN Lendu, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


JABATAN Pertanian Melaka memberi jaminan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi sepanjang Ramadan berikutan usaha jabatan itu membantu usahawan tani memasarkan produk mereka.

Pengarahnya, Mohd Rasydan Mohd Yusof berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac lalu, kebanyakan usahawan tani menghadapi kesukaran untuk memasarkan sayur dan buah-buahan di luar daerah, apatah lagi di luar Melaka.

Sehubungan itu, katanya, jabatan itu mengambil inisiatif membawa pemborong ke ladang sayur dan buah-buahan terutama di daerah yang berfungsi sebagai pengeluar utama bahan makanan itu.

"Kami amat memahami kesukaran dialami usahawan tani untuk memasarkan produk mereka di luar daerah dan negeri ini berikutan PKP, jadi kami berbincang dengan pemborong dan mengajak mereka datang ke ladang atau kebun.

"Hasil daripada perbincangan kedua-dua pihak, usahawan tani bersedia menjual produk mereka kepada pemborong pada harga munasabah dan mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 1.5 tan tembikai kepada Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu, Masjid Tanah, hari ini.

Buah berkenaan dan bahan makanan lain akan diedarkan kepada mereka yang terjejas akibat PKP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Mohd Rasydan berkata, inisiatif diambil Jabatan Pertanian bukan setakat membantu usahawan tani meneruskan operasi kerana berjaya mengelak daripada kerugian besar, malah membantu memastikan bekalan sayur dan buah-buahan di negeri ini mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:33 PM