TIGA lelaki yang ditahan ketika makan buah mangga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.  FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TIGA lelaki yang ditahan ketika makan buah mangga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


TIGA buruh mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di rumah rakit sambil makan mangga, dihukum penjara empat hari serta denda RM1,000.

Hukuman diputuskan Majistret Nordiana Abd Aziz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau juga menambah hukuman penjara sebulan ke atas tertuduh, Wan Adnan Wan Nawi, 28; Muhammad Asraf Ghazali, 21; dan Wan Saiful Nizam Abdullah, 21, sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Semua tertuduh sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa bergerak dari Kampung Pulau Sekati, Kuala Terengganu ke suatu tempat yang lain iaitu di sebuah rumah rakit di kawasan Pulau Sekati pada 9.45 malam, 20 April 2020.

Sementara itu di mahkamah sama, tujuh lagi lelaki berusia antara 29 hingga 51 tahun turut dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM1,000 atau tambahan satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, kerana melanggar PKP.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, semua tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Kuala Terengganu antara 10.50 malam hingga 11.20 malam pada 20 April hingga semalam (22 April).

Pendakwaan ke atas semua tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala 10 tertuduh itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein dan Mohd Asaari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:53 PM