FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ahmad Ismail.


BAGI mengelakkan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketua keluarga boleh melakukan sendiri tahnik terhadap bayi baharu dilahirkan sama ada di rumah atau pusat rawatan.

Kadi Daerah Segamat Mohd. Zaini Mohd. Salleh berkata, tahnik adalah perbuatan mengunyah tamar atau manisan umpamanya madu yang kemudian disapukan kepada lelangit bayi baharu lahir.

“Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Ia tidaklah wajib tetapi hanya sunat,” katanya ditemui di pejabat Kadi Segamat, di Segamat, hari ini.

Menurutnya, di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunat membawa kanak-kanak menemui orang soleh untuk bertabarruk (ambil keberkatan) dengan mereka.

“Sebaiknya dilakukan oleh ketua keluarga atau wanita terhadap kelahiran bayi di pusat rawatan atau di kediaman. Ketika PKP ini pergerakan tentunya terbatas untuk bertemu orang soleh umpamanya ustaz atau imam.

“Di sebalik mencalit manisan di lelangit bayi bacakan surah al-Fatihah, selawat, surah Al-Insyirah, Ya Latif dan Toha sebagai tambahan. Doa tahnik boleh dicari melalui alam maya,” katanya.

Mohd. Zaini berkata, tiada masalah buat keluarga berpengalaman telah menerima kelahiran bayi sebelumnya, hanya memberikan panduan buat kelahiran sulong berkongsi panduan.

“Ada melakukan program berdoa tahnik kepada bayi di hospital namun berkala antaranya ketika Maal Hijrah.

“Program lawatan itu juga bertujuan untuk menggembirakan ibu yang selamat melahirkan bayi masing-masing pada tarikh bersejarah dalam Islam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:39 PM