PPE serta bantuan lain untuk disumbangkan oleh #JagaSamaDirik kepada petugas barisan hadapan. FOTO Melvin Joni
PPE serta bantuan lain untuk disumbangkan oleh #JagaSamaDirik kepada petugas barisan hadapan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

LEBIH 500 sukarelawan di seluruh Sarawak bergabung tenaga menghasilkan lebih 30,000 Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

Wakil #JagaSamaDirik, Hazwan Razak berkata, inisiatif itu bagi menyahut seruan untuk memenuhi kekurangan PPE, di mana sukarelawan bersama menghasilkan pelindung muka pakai buang daripada mesin pencetak 3D, sarung kepala, sarung kasut dan pakaian penutup keseluruhan.

“Kami juga berterusan menghasilkan PPE yang boleh diguna pakai dan membangunkan peralatan perubatan kecemasan.

“Kesemua PPE ini telah diagihkan kepada pusat rawatan Covid-19 yang mengemukakan permintaan seperti hospital, pusat saringan serta klinik kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lebih 30,000 PPE telah dihasilkan dan diagihkan setakat ini.

“Pembuatan masih lagi berjalan bagi memenuhi kekurangan untuk memastikan petugas kesihatan disokong sepenuhnya dalam merawat pesakit Covid-19.

“Dianggarkan lebih 15,000 PPE telah digunakan dan dilupuskan setiap hari di Hospital Umum Sarawak dan pusat rawatan Covid-19 lain. Ini merangkumi pelindung muka, topeng N95, sarung tangan, penutup kepala, sarung kasut dan pakaian penutup keseluruhan,” katanya.

Hazwan berkata, #JagaSamaDirik telah memulakan kutipan derma makanan dan mengagihkan kepada keluarga yang memerlukan.

“Matlamat utama adalah untuk membentuk masyarakat yang prihatin di Sarawak. #JagaSamaDirik menggalakkan orang ramai untuk menyumbang makanan kering seperti beras, minyak masak, biskut, mi segera, susu bayi atau kanak-kanak, makanan dalam tin, kain lampin, garam mahu pun gula.

“Sumbangan makanan ini akan dibungkus sebagai Pakej Penyayang dan diagihkan sukarelawan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:34 PM