Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 190 keluarga dari lima gugusan pulau sekitar perairan Johor Timur dekat Mersing, menerima bantuan keperluan harian untuk meringankan beban mereka, susulan penularan wabak Covid-19.

Bantuan disampaikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing dan tiga syarikat korporat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, sumbangan itu dikoordinasikan pihaknya membabitkan kekuatan 50 anggota menggunakan kapal KM Tegas dan dua bot iaitu Kilat 14 serta 16.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (TKP) ini kita memberi bantuan kecemasan kepada penduduk pulau selain memantau perairan bagi memastikan tiada kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian bantuan berkenaan kepada wakil ketua kampung pulau.

Dalam pada itu, Sanifah berkata, pihaknya akan memaksimumkan bilangan anggota dan aset sedia ada dalam usaha memantau perairan negeri menjelang Ramadan nanti berserta rondaan di sempadan.

“Operasi turut dilaksanakan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita ada mengenal pasti beberapa lokasi panas kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sebelah timur serta barat negeri dan menerusi Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA), radar seperti Aerial Control Centre (ACC) Tanjung Piai akan digunakan untuk pemantauan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Duku Pulau Sibu, Affandi Awang, 35, berkata bekalan makanan yang diterima itu membolehkan penduduk meneruskan kelangsungan hidup susulan aktiviti menangkap ikan yang tidak digalakkan ketika PKP ini.

“Walaupun penduduk tinggal di kawasan pulau tetapi pamatuhan terhadap arahan PKP tetap diikuti dan kami mendapatkan maklumat secara terus daripada pejabat daerah dan agensi keselamatan,” katanya.

Penduduk yang menerima bantuan antaranya dari Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Aur serta Pulau Pemanggil.

ANGGOTA APMM bersama penduduk menurunkan bekalan keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk pulau di lima gugusan pulau sekitar perairan Johor Timur Mersing, susulan wabak COVID-19 sejak 18 Mac lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANGGOTA APMM bersama penduduk menurunkan bekalan keperluan asas untuk diagihkan kepada penduduk pulau di lima gugusan pulau sekitar perairan Johor Timur Mersing, susulan wabak COVID-19 sejak 18 Mac lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 9:31 AM