AHMAD Marzuk ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim di Dewan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Lundang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim di Dewan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Lundang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


KERAJAAN memperuntukkan RM21 juta bagi membantu sekolah pondok dan tahfiz yang terjejas akibat Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata peruntukan itu diambil daripada Belanjawan 2020 yang sudah diluluskan untuk pembangunan fizikal sebanyak RM100 juta.

Katanya, kesemua pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara akan dibantu dengan jumlah nilai bantuan yang berbeza-beza bergantung kepada jumlah murid dan guru.

“Sumbangan kepada pondok dan tahfiz terjejas ini kita namakan Program Musaadah kerana kita menitikberatkan pendidikan pondok.

“Bagi pondok dan sekolah tahfiz yang terjejas serta berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan negeri, kita akan bantu,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada Pondok Pasir Tumbuh bernilai RM23,400 di Kota Bharu, Kelantan.

Ahmad Marzuk berkata, proses pengagihan bantuan itu akan diberi secara berperingkat menerusi majlis serahan atau pembayaran tunai ke akaun masing-masing.

“Jumlah pondok yang terjejas akibat Covid-19 masih dalam penilaian pentadbiran kementerian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 4:52 PM