DZULKHAIRI (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas hasil kegiatan sindiket pelaburan antarabangsa warganegara China. FOTO Omar Ahmad
DZULKHAIRI (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas hasil kegiatan sindiket pelaburan antarabangsa warganegara China. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


POLIS menumpaskan satu sindiket pelaburan bitcoin dan menahan 14 warga China selepas menyerbu sebuah banglo di kawasan komuniti berpagar Horizon Hill di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan ke atas markas operasi sindiket berkenaan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada jam 2.14 petang.

Katanya, semua lelaki warga China yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun.

“Hasil siasatan awal, mendapati mereka adalah sindiket penipuan pelaburan bitcoin yang tidak wujud dengan mensasarkan warga China sebagai mangsa.

“Serbuan susulan risikan selama hampir dua bulan dan turut merampas 33 unit telefon pintar, sembilan komputer riba, dua unit modem dan satu mesin pencetak,” katanya dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya percaya sindiket menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pakej pelaburan melalui aplikasi WeChat dan QQ.

“Ahli sindiket menyamar sebagai mentor pelaburan dan ahli pelaburan bagi meyakinkan mangsa,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, mangsa yang terpedaya dengan testimoni palsu menyebabkan mereka melabur dan mengalami kerugian.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan juga mendapati kesemua suspek yang ditahan ini bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berpangkalan di negara China.

“Pihak polis percaya masih ada saki baki ahli sindiket serta dalang utama,” katanya nilai keseluruhan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan.

Kesemua suspek direman 14 hari mula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 3:40 PM