DOUGLAS Uggah ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO UKAS
DOUGLAS Uggah ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO UKAS
Mohd Roji Kawi


TIGA individu menjadi kumpulan pertama yang diletakkan sebagai orang dalam pemantauan (PUS) disahkan positif Covid-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiga individu terbabit dikuarantin di hotel selama 14 hari sebaik tiba di negeri ini dengan menaiki penerbangan dari luar negara dan Semenanjung Malaysia.

“Seorang daripada kes itu positif kalangan PUS itu dikuarantin di Hotel Grand Rajah Court Dormani Hotel di Kuching dan dia mempunyai sejarah perjalanan dari Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Sarawak.

“Dua orang lagi dikesan di Miri iaitu seorang PUS yang dikuarantin di Eastwood Valley Resort yang mempunyai sejarah perjalanan dari Singapura dan seorang lagi dikuarantin di Imperial Palace Hotel yang baru tiba dari Kuala Lumpur,” katanya.

Uggah berkata demikian pada sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, kesemua tiga kes positif kalangan PUS itu kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri.

Tiga individu terbabit adalah antara 1,438 kes PUS yang dikuarantin selama 14 hari di 16 hotel di Kuching, Bintulu, Miri dan Limbang sebaik tiba di negeri ini dengan menaiki penerbangan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

Sementara itu, Uggah berkata, sebanyak enam enam lagi kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kes di negeri ini kini sebanyak 403 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Kesemua enam kes positif itu dikesan di Kuching dan kini dirawat di HUS,” katanya.

Mengenai individu dalam siasatan pula, beliau berkata sebanyak 135 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,319 kes.

“Daripada jumlah itu, 2,824 kes adalah negatif dan 92 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Pada sidang media itu, Uggah turut menyampaikan khabar gembira apabila dua lagi kes positif disahkan sembuh iaitu di Kuching menjadikan jumlah kes yang sembuh sebanyak 57 kes dan telah discaj dari hospital di negeri ini.

“Daripada 57 kes itu, 32 kes adalah dari HUS, 13 kes dari Hospital Sibu, Hospital Miri (9) dan Hospital Bintulu (3),” katanya.

Ketika ini, seramai 304 kes positif masih dirawat di HUS dan juga di tiga ‘step down center’ iaitu Kompleks Belia dan Sukan, Anjung Kasih HUS dan Institut Latihan KKM di Batu 13 Kuching.

Kes kematian akibat pandemik Covid-19 pula kekal 14 yang direkodkan sejak kes kematian

pertama dilaporkan pada 17 Mac yang lalu.

Daripada 14 kes kematian itu, 12 kes dilaporkan di HUS dan dua kes dilaporkan di Hospital Miri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 7:00 PM