Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Arkib NSTP
Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


PENIAGA perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh membuat permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) menerusi atas talian saja.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendekatan itu diambil selepas menyedari kesukaran termasuk dakwaan syarat terlalu ketat dikenakan kepada pemohon PKS dalam membuat permohonan kemudahan bantuan khas (KBK) itu.

Katanya, setakat hari ini, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menerima sebanyak 7,681 permohonan skim terbabit yang memperuntukkan bantuan keseluruhan bernilai RM200 juta.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya ingin menjelaskan TEKUN Nasional melalui pendekatan mesra usahawan telah memudah cara permohonan CBRM yang mana pada awalnya permohonan pinjaman melalui kaedah Google Form dan emel.

“Bagi memudahkan PKS, bermula pada 16 April 2020 (semalam) permohonan secara atas talian (online) diwujudkan yang mana pemohon boleh memohon di http://fas.tekun.gov.my/cbrm/.

“Hanya dokumen minimum yang perlu disertakan dalam permohonan itu iaitu tandatangan borang penzahiran (declaration) dan penyata bank terkini sebulan, salinan MyKad pemohon dan pasangan, lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan atau dokumen lain yang mengesahkan perniagaan serta salinan salah satu bil utiliti,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau menjelaskan, kemungkinan berlaku kelewatan kelulusan permohonan atas beberapa faktor termasuk maklumat borang dan dokumen tidak lengkap.

“Faktor lain kemungkinan permohonan bertindih (pemohon mengemukakan permohonan CBRM lebih daripada sekali).

“Selain itu, kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP) meminimumkan pergerakan terutama kakitangan TEKUN di cawangan serta pemohon perlu ke pejabat TEKUN cawangan bagi menandatangani surat perjanjian apabila permohonan pinjaman diluluskan.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan setiap komen dan cadangan daripada semua pihak dan saya berharap CBRM ini akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh melayari www.tekun.gov.my atau hubungi talian 03-9059 8888.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 11:09 PM