DATUK Seri Dr Sim Kui Hian ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. FOTO UKAS
DATUK Seri Dr Sim Kui Hian ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. FOTO UKAS
Mohd Roji Kawi


SEBANYAK 10 kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan disahkan jangkitan pandemik itu sebanyak 397 kes sejak kes positif pertama dikesan pada 13 Mac lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), dua di Hospital Miri dan seorang di Hospital Sibu.

“Sarawak hari ini merekodkan 119 kes individu dalam siasatan (PUI) menjadikan jumlah terkumpul kini menjadi 3,065 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,687 kes diuji negatif sementara 100 daripadanya menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.

Sehingga kini, Sarawak merekodkan 14 kematian kerana Covid-19, manakala 55 lagi disahkan sembuh dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Berdasarkan statistik harian Sekretariat JPBN, dua kawasan di Sarawak kekal sebagai zon merah ini iaitu Kuching dan Kota Samarahan.

Kuching mencatatkan sebanyak 252 kes positif dengan lapan kematian, manakala Kota Samarahan pula mencatatkan seramai 68 positif dengan empat kematian.

Sembilan bahagian lagi dikategori sebagai zon kuning iaitu Miri dengan 19 kes positif dan satu kematian, Betong (16), Serian (10), Limbang (9 dengan satu kematian), Bintulu (9), Sarikei (6), Sibu (5), Mukah (2) dan Sri Aman (1).

Bahagian Kapit pula kekal sebagai zon hijau apabila mencatatkan sifar kes positif serta kes PUI.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 6:19 PM