PENEMUAN satu mayat dan sebuah kereta Nissan Shlpy di Kilometer 51 Jalan Jemaluang - Kahang. FOTO Ihsan PDRM
PENEMUAN satu mayat dan sebuah kereta Nissan Shlpy di Kilometer 51 Jalan Jemaluang - Kahang. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

SEORANG lelaki maut dipercayai diserang gajah liar di Kilometer 51, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kira-kira jam 8.10 pagi ini, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai penemuan satu mayat dan sebuah kereta Nissan Shlpy di tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 52 tahun bekerja sebagai jurujual berasal dari Selangor yang dikenal pasti oleh waris.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di dada dan rusuk serta meninggal dunia di lokasi kejadian disyaki akibat serangan gajah liar.

“Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang perbuatan jenayah kerana barang berharga dan peribadi mangsa tidak hilang.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk keberadaan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 5:42 PM