Rafidah Mat Ruzki


TABUNG Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menerima sumbangan lebih RM174 juta daripada 216 penyumbang, dalam bentuk wang tunai, peralatan dan perkhidmatan.

Terkini, tabung itu menerima sumbangan wang tunai hampir RM13 juta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kementerian itu turut menerima sumbangan peralatan dan penginapan dianggarkan kira-kira RM1 juta.

Dalam satu kenyataan media selepas itu, Dr Adham berkata, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan pelbagai pihak yang prihatin untuk sama-sama mendepani cabaran memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Beliau berkata, keprihatinan dan sumbangan semua pihak amat bermakna dalam usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Penyumbang yang bermurah hati ini termasuklah NGO, yayasan, dewan perniagaan, institusi pengajian tinggi, individu dermawan, kumpulan pelajar, jawatankuasa surau, bank, syarikat antarabangsa dan syarikat tempatan. “KKM turut menerima sumbangan daripada Kerajaan China,” katanya.

DR Adham Baba (kiri) beramah mesra bersama penyumbang selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Covid-19. FOTO Bernama.
DR Adham Baba (kiri) beramah mesra bersama penyumbang selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Covid-19. FOTO Bernama.

Etiqa Family Takaful Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Zafri Abdul Halim, menyumbang sebanyak RM10 juta untuk pembelian kit ujian; Permodalan Nasional Berhad (PNB) diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan, Abdul Jalil Abdul Rasheed, menyumbang sebanyak RM1,970,929; sumbangan RM300,080 dari Yayasan Waqaf Malaysia yang diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary; sumbangan RM300,000 dari COWAY Malaysia yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Coway (Malaysia) Sdn Bhd, Choi Ki Ryong.

Co-op Bank Pertama, diwakili Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari, menyumbangkan RM200,000; Prokhas Sdn Bhd, yang diwakili Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Juanita Rusmini Abdul Jalil menyumbang RM150,000; dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang menyumbang sebanyak RM25,000 disampaikan oleh Presidennya, Datuk Aliasak Ambia.

Selain sumbangan wang tunai, Tabung Covid-19 KKM juga menerima sumbangan peralatan dan penginapan daripada lapan organisasi.

Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Tan Sri Mohd Ariffin Mohd Yusuf, menyumbang sebanyak 2,000 set peralatan perlindungan peribadi (PPE), 150,000 penutup mulut dan hidung serta 9,000 botol bahan nyah kuman bernilai RM541,500; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwakili Pengarah EPF Learning Campus, Suhaizam Ismail, menyumbang sebanyak 150 penginapan di Hotel Ruai Inap di Kajang secara percuma kepada petugas kesihatan KKM yang terbabit dalam pengendalian Covid-19; Star Medik Sdn Bhd, diwakili Pengarah Urusan, Johari Abu Kasim menyumbang RM150,000.

DR Adham  (kiri) menerima sumbangan pelindung muka dari Me.Reka Innovative Education. FOTO Bernama.
DR Adham (kiri) menerima sumbangan pelindung muka dari Me.Reka Innovative Education. FOTO Bernama.

Mr DIY yang diwakili Ahli Lembaga PengarahMr DIY Group (M) Bhd, Datuk Azlam Shah Alias menyumbangkan 2,000 set PPE dan 5,000 unit pelindung muka; Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) yang diwakili Presidennya Datuk Seri Baharuddin Ahmad Basir menyumbang 10,000 topeng muka jenis N95 berjumlah RM60,000; Me. Reka Innovative Education diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rashvin Pal Singh, menyumbang sebanyak 10,210 pelindung muka; Coast Guard Sdn Bhd yang diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Nor M Shah menyumbang sebanyak 100 unit kit ujian Covid-19 bernilai RM10,000 dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) diwakili Presidennya, Harolhanam Mohamed Wahid, menyumbang sebanyak 6,000 penutup mulut dan hidung.

Sementara itu, Zafri dalam satu kenyataan, berkata Etiqa Family Takaful Berhad memberikan sokongan pencegahan kepada hospital kerajaan dengan sumbangan bernilai RM10 juta untuk perbelanjaan lebih daripada 68,000 unit kit ujian Covid-19, dalam menyokong usaha negara dalam membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata, ujian diagnostik adalah mekanisma yang bernilai, dan sangat penting dalam mengenalpasti pesakit dijangkiti, yang berupaya untuk sembuh dan diasingkan.

Katanya, dengan bilangan kit ujian Covid-19 yang mencukupi disediakan di hospital kerajaan, mereka yang dijangkiti boleh diasingkan dengan kadar segera, lantas mengurangkan interaksi mereka dengan individu yang sihat, dan secara langsung memutuskan rantaian penularan wabak itu.

“Etiqa Family Takaful Berhad sangat berbesar hati dapat menyokong memerangi Covid-19 dengan bantuan RM10 juta untuk lebih daripada 68,000 unit kit ujian Covid-19. Hospital kerajaan, yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, akan menerima kit ini untuk membantu mengenalpasti mereka yang dijangkiti.

“Kami sangat berharap agar sumbangan ini dapat membantu negara kita dalam membanteras Covid-19.

“Sementara mereka yang berada di barisan hadapan berkorban untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan kita, ayuh kita terus memainkan peranan masing-masing dengan duduk di rumah dalam memutuskan rantaian penularannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:11 PM