Adnan Mat
Adnan Mat
Sophia Ahmad


PENJAWAT awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ia termasuk perkhidmatan, bayaran gaji, elaun atau wang persaraan.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas dari tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

"Penjawat awam dan pesara perlu mengetahui bahawa kita semua tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang walaupun sedang atau telah berkhidmat untuk negara dan kerajaan.

"Segala keistimewaan yang dinikmati seperti perkhimatan, bayaran gaji, elaun atau wang persaraan mungkin akan ditarik balik sekiranya didapati bersalah melanggar undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, penjawat awam dan pesara adalah contoh kepada masyarakat, justeru pematuhan terhadap undang-undang perlu dititik berat.

"Ketika ini negara telah memasuki fasa ketiga PKP yang dilaksanakan bagi mencegah penularan coronavirus (Covid-19).

"CUEPACS ingin menekankan sekali lagi kepada semua warga Penjawat Awam serta pesara kerajaan supaya sentiasa mematuhi PKP setiap tindakan yang dilakukan memberi impak kepada arahan dan dasar yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:07 PM