LEE KIM SHIN
LEE KIM SHIN
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak lega dengan keputusan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang bersetuju meneruskan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak mengikut laluan dan kekerapan yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, persetujuan itu dicapai selepas perbincangan antara beliau dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata, antara laluan dan kekerapan yang dipersetujui ialah Kuala Lumpur - Kuching - Kuala Lumpur sekali seminggu iaitu setiap Khamis, bermula 16 April hingga 14 Mei 2020 dan Kuala Lumpur - Miri - Kuala Lumpur juga sekali seminggu iaitu pada setiap Jumaat berkuat kuasa pada 16 April sehingga 14 Mei 2020.

“Laluan Kuala Lumpur - Kota Kinabalu - Kuala Lumpur juga sekali seminggu, iaitu setiap Khamis bermula 16 April hingga 14 Mei 2020.

“MAB turut memberi jaminan selain penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak, bandar-bandar lain di negeri ini juga boleh dihubungi menerusi penerbangan MASwings,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara laluan MASwings ialah Sibu - Bintulu - Sibu dan Miri - Bintulu - Miri.

Kim Shin berkata, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) juga mengesahkan jumlah penerbangan akan ditambah jika penumpang meningkat.

Pada masa yang sama, MAB akan memastikan penerbangan kargo antara Kuala Lumpur dan Sarawak akan diteruskan terutama bagi barangan penting seperti ubat-ubatan.

“Kerajaan Sarawak dan Persekutuan akan terus memantau keadaan dan memastikan tiada gangguan penerbangan penumpang serta kargo dari Kuala Lumpur ke Sarawak.

“Saya bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan dan Pegawai Eksekutif MAB, atas kerjasama dan keputusan segera membenarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak selain perkhidmatan MASwings,” katanya.

Sebelum ini MAB memutuskan semua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dibatalkan berkuat kuasa dari 15 April hingga 30 April 2020.

Berikutan itu, JPBN Sarawak mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan kerana penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sarawak tidak boleh dihentikan berikutan kedudukan Sarawak yang berada di atas pulau.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 3:38 PM