MDHS dengan kerjasama bomba melancarkan operasi sanitasi awam fasa kedua di Hulu Selangor membabitkan 15 blok perumahan di Taman Bunga Raya dan Bukit Sentosa. FOTO MD FUZI ABD LATEH.
MDHS dengan kerjasama bomba melancarkan operasi sanitasi awam fasa kedua di Hulu Selangor membabitkan 15 blok perumahan di Taman Bunga Raya dan Bukit Sentosa. FOTO MD FUZI ABD LATEH.
Md Fuzi Abd Lateh


MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) melancarkan operasi sanitasi awam nyah cemar kuman besar-besaran fasa kedua bagi mengekang wabak Covid-19 di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, bermula semalam.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata, operasi bersepadu itu dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa bermula 9 pagi hingga 2 petang selama tiga hari.

Katanya, seramai 90 anggota termasuk dari BBP Kuala Kubu Bharu, Akademi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Hulu Selangor, Polis Diraja Malaysia Balai Bukit Sentosa, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Dahlia di Taman Bunga Raya terbabit dalam operasi itu.

“Sanitasi awam kali ini dilakukan di 15 blok perumahan penduduk di Taman Bunga Raya dan Bukit Sentosa sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di Hulu Selangor yang dikategorikan sebagai zon merah.

“Antara perumahan terbabit di Taman Bunga Raya adalah Pangsapuri Cempaka dan Kenanga yang sudah mempunyai kes positif wabak itu. Operasi ini dilakukan secara berperingkat-peringkat hingga selesai,” katanya.

Beliau berkata, MDHS sudah mengeluarkan hebahan operasi berkenaan kepada penduduk melalui JMB di kawasan mereka sejak Jumaat lalu agar penduduk sentiasa bersedia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 3:07 PM