SHAHIDON bersama kenderaan yang digunakan untuk memantau tahap kebersihan di kawasan Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
SHAHIDON bersama kenderaan yang digunakan untuk memantau tahap kebersihan di kawasan Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


SELAIN jumlah sampah meningkat tiga kali ganda, pekerja pembersihan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga berdepan dengan pelbagai kerenah segelintir isi rumah semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, 18 Mac yang lalu.

Pengalaman dalam memastikan kebersihan kawasan Slim River terpelihara ketika PKP dikongsi Penyelia Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) Bahagian Kebersihan, Cawangan Slim River, Shahidon Abdul Samad, 57, yang setiap hari memantau kawasan terbabit.

Shahidon berkata, pertambahan bilangan sampah ketika PKP menyebabkan lori yang mengambil sampah di kawasan perumahan dan kawasan lain terpaksa berulang alik sehingga empat kali berbanding hari biasa hanya dua kali sahaja.

Katanya, memasuki kawasan perumahan dengan lori pengangkut sampah kadang kala berdepan dengan masalah sikap segelintir isi rumah yang parkir kenderaan sehingga menghalang laluan perjalanan lori terbabit.

“Pernah pekerja di bawah saya dimarahi penduduk, apabila pekerja pembersihan meminta mengalih kenderaan kerana menghalang lori yang ditugaskan mengambil sampah di kawasan terbabit.

“Malah, ada juga segelintir penduduk meletakkan sampah dalam plastik sampah berwarna hitam di luar rumah yang sepatutnya meletakkan sampah dalam tong sampah.

“Masalah timbul, apabila plastik sampah dirobek oleh binatang liar menyebabkan sampah itu berteraburan di tepi jalan atau di kawasan perumahan, akhirnya, kami juga disalahkan,” katanya ketika membuat pemantauan kebersihan di Slim River, dekat Muallim.

Setiap kawasan mempunyai jadual kutipan sampah di mana kawasan terbabit akan dikutip sampah sebanyak tiga kali seminggu.

Shahidon berkata terdapat juga segelintir isi rumah yang membuang sampah yang tidak sepatutnya dibuang dalam tong roro iaitu perabut rosak, dahan-dahan pokok atau barang buangan binaan.

Katanya, jika penduduk yang ingin membuang barang pukal sebegini perlu maklumkan kepada pihak MDTM terlebih dahulu dan pihak MDTM akan membantu, bukannya dibuang terus dalam tong terbabit.

“Saya tidak nafikan ada ramai penduduk atau isi rumah yang peka dalam aspek kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan secara berkhemah dan harap jadikan budaya itu sebagai amalan kehidupan.

“Inilah cabaran yang dihadapi sejak PKP dikuatkuasakan dan sebagai menjalankan amanah dan tanggungjawab maka semua itu dilalui dengan penuh kesabaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 12:26 PM