MOHD Zatullah menggunting sendiri rambut anak yatim di bawah jagaannya. FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHD Zatullah menggunting sendiri rambut anak yatim di bawah jagaannya. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


“LEBIH baik saya sendiri yang gunting rambut mereka (anak yatim) kerana lebih selamat berbanding membenarkan mereka pergi ke kedai atau pihak lain melakukannya,” kata Mohd Zatullah Kamarudin.

Pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (Pujaywa) yang beroperasi di Taman Satria Senawang itu berkata, dia tidak mahu menanggung risiko jika membawa mereka ke kedai gunting rambut.

Menurutnya, walaupun dalam kalangan mereka khususnya anak yatim tidak mempunyai simptom Covid-19 tetapi pelbagai langkah keselamatan perlu diambil tambahan pula dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Anak yatim ini mungkin akan terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika pergi ke kedai gunting kerana tiada penjarakan sosial di dalam kedai berkenaan.

“Bagi mengelak keadaan itu berlaku, saya bertindak gunting rambut mereka demi keselamatan kami dan anak yatim ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Zatullah berkata, Pujaywa kini menempatkan seramai 12 anak yatim berusia antara tujuh hingga 15 tahun.

Menurutnya, Pijaywa ditubuhkan pada awal 2017 adalah berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan berteraskan Islam.

“Ketika ini, kami terus memantau pergerakan anak yatim dan mereka tidak dibenarkan keluar asrama sebaliknya kekal mematuhi arahan PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:37 PM