ANGGOTA bomba melakukan proses nyah kuman di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA), di Taman Satria Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
ANGGOTA bomba melakukan proses nyah kuman di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA), di Taman Satria Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


“SAYA minta pusat ini turut dibuat nyah kuman sebagai langkah keselamatan bagi menjamin kepentingan anak yatim,” kata pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA), di Taman Satria Senawang, Seremban, Mohd Zatullah Kamarudin.

Operasi sanitasi awam atau nyah kuman dilakukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, hari ini.

Mohd Zatullah berkata, pihaknya mengambil langkah itu untuk memastikan pusat berkenaan yang menempatkan 12 anak yatim berusia antara tujuh antara 15 tahun terselamat daripada wabak Covid-19.

“Walaupun dalam kalangan kami khususnya anak yatim tidak mempunyai simptom Covid-19, proses nyah kuman ini dapat memastikan asrama menempatkan mereka bebas daripada wabak ini.

“Kami tidak tahu situasi penularan wabak ini dan lebih baik proses nyah kuman dilakukan supaya menjamin keselamatan dan kesejahteraan kami,” katanya.

Mohd Zatullah berkata, selain asrama di rumah teres setingkat, semburan turut dilakukan ke atas dua kenderaan iaitu kereta dan van.

Beliau berkata, PUJAYWA ditubuhkan pada awal 2017 dan berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan berteraskan Islam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:05 PM