Pengarah HCTM, Prof Datuk  Dr Hanafiah Harunarashid (depan) bersama pasukan petugas bersama  Robot Makcik Kiah 19 (MCK19) yang akan digunakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19. FOTO Ihsan HCTM UKM
Pengarah HCTM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (depan) bersama pasukan petugas bersama Robot Makcik Kiah 19 (MCK19) yang akan digunakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19. FOTO Ihsan HCTM UKM
Muhaamad Hafis Nawawi


ROBOT Makcik Kiah 19 (MCK19) akan digunakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Cheras bagi mengurangkan pendedahan petugas kesihatan ketika memeriksa dan merawat pesakit Covid-19.

Prototaip robot yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF), adalah Robot Penghantaran Pertama Buatan Malaysia.

Ia diberi nama jolokan MCK19 iaitu Key Innovations Assisting Healthcare (KIAH), dan diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, sistem automasi itu dirancang untuk menggantikan petugas ketika mengedarkan sajian makanan bagi pesakit kategori satu dan dua yang dikuarantin.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, pihaknya menyambut baik kolaborasi dengan UTM dan DF berkenaan.

Menurutnya, projek robotik ini mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“UKM juga berterima kasih di atas sokongan padu MOSTI, KKM dan MTDC terutamanya bagi fasa percubaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, percubaan klinikal terhadap keupayaan robot MCK19 akan dilakukan tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata, penggunaan robot dan inovasi baru menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dalam memerangi serta merawat pesakit Covid-19 dapat mengurangkan risiko kepada petugas perubatan dan membuka ruang kepada inovasi yang canggih di masa akan datang.

“Kami ada perancangan untuk menghasilkan robot yang boleh mengambil suhu badan dan tekanan darah serta melakukan sanitasi nyah virus di dalam wad pada masa akan datang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 3:11 PM