ANGGOTA tentera memasang kawat berduri di sekitar Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Bernama
ANGGOTA tentera memasang kawat berduri di sekitar Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


POLIS tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibaling dengan air kencing warga asing ketika bertugas di Selangor Mansion.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan, pihaknya menerima satu laporan berkenaan kejadian yang berlaku pada 8 April lalu membabitkan anggota ATM yang sedang bertugas untuk pemasangan kawat duri.

“Laporan dibuat pengadu kerana anggotanya memaklumkan perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion yang membaling objek seperti botol, bungkusan sampah dan pasu bunga, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan keadaan keselamatan di kawasan itu terkawal.

“Bagaimanapun, tiada sebarang laporan berhubung kejadian anggota ATM dibaling dengan air kencing warga asing seperti mana yang dinyatakan dalam artikel sebuah akhbar bertajuk ‘Askar pakai helmet, elak air kencing warga asing!’,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tersebar dakwaan anggota tentera memakai topi keledar bagi mengelak air kencing dilemparkan penghuni kawasan itu.

Katanya, pemakaian topi keledar oleh anggota tentera sememangnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak ATM.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu cuba mendatangkan cedera kepada penjawat awam dengan membaling botol dan pasu bunga.

“Rakaman percakapan pengadu sudah pun direkodkan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 11:59 PM