ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengawal lalulintas Jalan Reko-MRT iaitu antara lapan jalan ditutup bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai ke Bandar Kajang agar mematuhi Perintah Kawalan Perintah Pergerakan. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengawal lalulintas Jalan Reko-MRT iaitu antara lapan jalan ditutup bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai ke Bandar Kajang agar mematuhi Perintah Kawalan Perintah Pergerakan. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

BERIKUT adalah kronologi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi wabak Covid-19.

16 Mac 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

- Muhyiddin berkata, PKP itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

18 Mac 2020: PKP mula berkuat kuasa.

22 Mac 2020: Hampir 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan memantau pematuhan orang ramai terhadap PKP, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan PKP.

23 Mac 2020: Ketua Setiausaha di kementerian yang menyediakan perkhidmatan keperluan, perlu mengeluarkan surat kebenaran perjalanan kepada semua kakitangan yang bertugas, sepanjang PKP, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Di Perak, seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa PKP.

24 Mac 2020: Pematuhan rakyat terhadap PKP meningkat kepada 95 peratus, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang PKP.

- Pemegang lesen memandu dikecualikan daripada memperbaharui lesen bagi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

- ATM mula menggunakan dron bagi mengawal dan memantau pergerakan rakyat sepanjang tempoh PKP di seluruh negara.

25 Mac 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin umum pelanjutan tempoh PKP sehingga 14 April.

26 Mac 2020: Proses pembersihan dan pencucian nyahcemar dilakukan di premis awam terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan merah.

- Kerajaan laksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor hingga 9 April.

27 Mac 2020: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan 2,732 syarikat meneruskan operasi semasa tempoh PKP.

- Bacaan SO2 (sulfur dioksida) dan NO2 (nitrogen dioksida) dalam udara menurun selaras dengan pengurangan bilangan kenderaan motor di jalan raya terutama di bandar-bandar utama susulan pelaksanaan PKP.

29 Mac 2020: Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor hingga 13 April.

30 Mac 2020: Kerajaan menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur hingga 13 April.

1 April 2020: Fasa kedua PKP bermula sehingga 14 April.

- Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

- Had perjalanan individu yang keluar rumah dalam tempoh PKP bagi tujuan dibenarkan adalah ditetapkan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman.

3 April 2020: Pematuhan orang ramai terhadap PKP meningkat kepada 99 peratus, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

- Semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi selagi PKP dilaksanakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

4 April 2020: Seramai 5,126 ditahan kerana melanggar perintah PKP sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

7 April 2020: Indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan keempat PKPD di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

8 April 2020: Polis mula mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP.

9 April 2020: PKPD di dua kawasan dekat Simpang Renggam, Kluang, Johor dilanjutkan sehingga 14 April.

10 April 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu dari 15 April hingga 28 April.

- Sesi persekolahan mungkin ditangguh sehingga keadaan kembali pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 5:06 PM