BERNAMA

LIMA lelaki yang berkumpul tanpa alasan munasabah di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas pada Rabu, masing-masing dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

“Sejak pelaksanaan PKP sehingga semalam, kami telah menahan seramai 589 individu di seluruh negeri kerana gagal mematuhi PKP dan polis akan meneruskan sekatan jalan raya, rondaan serta operasi bagi mengesan mereka yang ingkar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan pihaknya mendapati nelayan dan peraih yang datang membeli hasil laut di situ mematuhi arahan dengan mempraktikkan penjarakan sosial, malah hanya 10 orang sahaja boleh berada dalam Pasar Bisik Kuala Muda pada satu-satu masa.

“Setakat ini nelayan mengakui pendapatan mereka tidak terjejas walaupun tidak lagi menjual dengan cara berbisik, tradisi yang diamalkan sejak puluhan tahun lalu, malah ketika PKP ini hanya peraih sahaja dibenarkan berniaga, manakala orang ramai tidak boleh datang membeli seperti sebelum ini,” katanya.

SAHABUDIN (kanan) meninjau keadaan Pasar Bisik Kuala Muda hari ini. FOTO Bernama.
SAHABUDIN (kanan) meninjau keadaan Pasar Bisik Kuala Muda hari ini. FOTO Bernama.

Sementara itu, Sahabudin berkata, kadar pematuhan penduduk Pulau Pinang terhadap PKP kini mencecah 98 peratus terutama selepas fasa dua dilaksanakan dan pihaknya juga mendapati tiada lagi pemandu kenderaan memberikan alasan tidak munasabah seperti sebelum ini.

Beliau berkata, jumlah kenderaan juga semakin berkurangan di jalan raya negeri ini iaitu kurang 50 peratus berbanding pada minggu pertama pelaksanaan PKP dan kebanyakan yang keluar adalah kerana keperluan antaranya pekerja perkhidmatan penting serta mereka yang ingin membeli keperluan barangan asas serta makanan.

“Saya pernah hadir memantau sekatan jalan raya dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan daripada (kenderaan) ditahan, hanya dua kereta sahaja yang tidak mematuhi (PKP), yang tiada surat... macam di Pasar Bisik Kuala Muda ini, tiada lagi orang ramai hadir berkumpul beramai-ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:48 PM