SEBAHAGIAN penuntut USMKK, Kubang Kerian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi membantu petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)...FOTO IHSAN USM
SEBAHAGIAN penuntut USMKK, Kubang Kerian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi membantu petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)...FOTO IHSAN USM
Hazira Ahmad Zaidi


BAGI memanfaatkan masa terluang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 73 penuntut Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK), Kubang Kerian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar USMKK, Nur Azlina Adris berkata, melalui projek #KAMIPRIHATIN yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani, mereka menyasarkan untuk hasilkan 1,000 pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan yang terbabit secara langsung sebagai petugas Covid-19 di hospital berkenaan.

Katanya, setakat ini, mereka sudah menyiapkan 400 pelindung muka dan ia sudah diserahkan kepada HUSM sebagai salah satu keperluan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang digunakan oleh petugas kesihatan ketika merawat pesakit.

MEREKA menyiapkan pelindung muka bagi membantu petugas barisan hadpan. FOTO IHSAN USM
MEREKA menyiapkan pelindung muka bagi membantu petugas barisan hadpan. FOTO IHSAN USM

“Namun disebabkan kekurangan bahan keperluan yang digunakan untuk menghasilkan alat pelindung muka, projek ini akan ditangguhkan buat sementara waktu dan akan disambung semula apabila bahan yang diperlukan dapat disediakan nanti.

“Bagaimanapun, baki sebanyak 600 unit pelindung muka ini akan diselesaikan dalam tempoh masa terdekat dan diagihkan kepada pusat kesihatan serta hospital lain yang memerlukan,” katanya.

Nur Azlina berkata, pada masa sama, dia dan penuntut yang terbabit juga dalam perancangan untuk membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan HUSM dengan menyediakan 200 unit pelindung kasut dan jubah isolasi yang turut digunakan petugas kesihatan dalam menangani wabak Covid-19.

“Saya terharu atas sokongan penuntut yang sudi tampil sebagai sukarelawan kerana memanfaatkan masa serta menyumbang tenaga dalam tempoh PKP ini sekali gus menunjukkan kebersamaan kami dalam perjuangan krisis Covid- 19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 12:19 PM