ANTARA sebahagian sumbangan PPE dari YRZSNJ yang diserahkan kepada pihak hospital. FOTO IHSAN RPO
ANTARA sebahagian sumbangan PPE dari YRZSNJ yang diserahkan kepada pihak hospital. FOTO IHSAN RPO
Omar Ahmad


YAYASAN Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyumbang 1,050 unit Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk kegunaan empat hospital di negeri ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) Royal Press Office (RPO), sumbangan itu untuk kegunaan petugas barisan hadapan menangani Covid-19.

PPE berkenaan bernilai RM150,000 dan 400 unit diserah kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) (250 unit), Hospital Permai (150 unit) manakala Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang menerima 250 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abdul Rahim berkata, dana bagi membiayai PPE itu adalah sebahagian daripada sumbangan RM1 juta yang diterima YRZSNJ minggu lalu daripada Yayasan Amal Ng Teng Fong (Ng Teng Fong Charitable Foundation) berpangkalan di Singapura bagi membantu Malaysia membendung penularan Covid-19.

“Bantuan-bantuan lain akan disalurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi membantu petugas barisan hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sebahagian besar sumbangan itu akan digunakan bagi mendapatkan keperluan perlindungan bagi petugas perubatan barisan hadapan dan mesin perubatan bagi hospital di seluruh Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 2:40 PM